Kematian itu satu pengajaran. Lihat saja sekeliling kita, satu persatu insan yang kita kenali telah kembali menyahut panggilan Ilahi. Benar, hidup ini terlalu singkat untuk kita serahkan jiwa. Amat pendek masa untuk kita bergembira semahu-mahunya. Saya suka mengamati perumpaan syurga di dalam al-Ra'd: 23-24 dan Muhammad:15. Kerana saya irihati dengan insan yang memiliki tempat di situ. Pengakhiran untuk insan keliling kita yang telah pergi itu sudah berlalu. Bagaimana khabar pengakhiran kita. Saya dahulu tidak mampu tidur dalam suasana gelap gelita kerana bimbang dengan 'momok', tapi kini saya tidur dalam keadaan hitam pekat. Muhasabah untuk suasana kita di dalam kubur. Genap setahun abah pergi, air mata masih berlinang. Saya masih kerap terjaga pada waktu awal pagi, dan saya selalu berkira-kira untuk menelefon dan bertanyakan khabar arwah. Kerana itulah aktiviti saya sebelum arwah pergi. Walau telah saya hilangkan telefon hijau itu dari pandangan mata, kadang-kadang saya terlupa dan bingkas bangun ingin mencapainya. Kepedihan yang berbekas tambah melunakkan hati. tanpa luka dan calar balar seperti ini, manakan mampu kita memiliki sel kulit yang baru bukan? Saya yg sememangnya cepat tersentuh emosi, bertambah-tambah mudah mengalirkan airmata. Berita kepulangan ayahanda 2 sahabat saya membuat saya ingin balik berlari dan memeluk keduanya. Ingin saya khabarkan kepada mereka, bahawa Allah tidak akan pernah menghadiahkan ujian itu jika mereka belum bersedia.
Al-fatihah buat Atan@Abdullah b. Zainal Abidin, dan semua muslimin muslimat yang kini berada disampingNya.
Al-fatihah buat Atan@Abdullah b. Zainal Abidin, dan semua muslimin muslimat yang kini berada disampingNya.